Friday, September 16, 2011

FAEDAH MENABUNG


      Share
Rata-ratanya kita sedar bahawa amalan menabung patut diterapkan dalam diri kita sejak kecil lagi kerana 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Amalan yang 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas' ini amat disenangi oleh masyarakat sejak dahulu hingga sekarang. Keperluan menabung mempunyai alasan yang tidak dapat dipersoalkan.

Bak kata pepatah, 'sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit', menabung akan menambah harta kita. Dengan sejumlah wang simpanan, kita dapat membeli barang yang dikehendaki, contohnya rumah dan kereta. Jika wang yang dikumpul itu tidak mampu membayar harga rumah, sekurang-kurangnya wang pendahuluan mampu dijelaskan. Pendek kata, menabung dapat menambah wang kita untuk memiliki sesuatu yang kita idam-idamkan.

Dalam kehidupan yang penuh cabaran ini, sesiapa sahaja mungkin ditimpa musibah. Seseorang itu barangkali jatuh sakit dan memerlukan wang rawatan yang banyak. Sekiranya seseorang itu menabung, keadaan kewangannya tidak akan genting. Berbekalkan wang tabung, kita tidak usah meminjam daripada pihak lain untuk mengatasi masalah sendiri. Dengan menabung, kita dapat berdikari bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Sungguhpun menabung dapat memanfaatkan diri sendiri, namun janganlah sampai ke tahap yang menyusahkan. Seseorang yang berjimat perlu juga menderma kepada fakir miskin. Sikap 'tangkai jering' patut dihindari. Menabur bidi kepada orang yang kurang mampu akan mendapat pahala. Dengan menabung, kita dapat mendermakan wang untuk tujuan kebajikan.

Akhir kata, menabung sememangnya amalan yang mendukung fungsi 'serampang dua mata', iaitu baik kepada diri dan juga kepada orang lain. Dengan perancangan perbelanjaan yang teliti, kita dapat menjimatkan sejumlah wang dalam kehidupan seharian. Oleh itu, amalan menabung wajar dilaksanakan oleh srtiap ahli masyarakat.

No comments:

Post a Comment