Saturday, September 17, 2011

Sikap Mementingkan Diri Dalam Masyarakat

      Peribahasa ada menyebut, ‘seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’. Peribahasa ini wujud kerana terdapat sesetengah ahli masyarakat yang mementingkan diri sendiri. Mereka hanya mahu mencari jalan singkat untuk hidup senang, tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Keadaan ini semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat moden hari ini yang tidak pernah mengambil berat akan orang lain.

     Berbeza dengan masyarakan dahulu kala di man mereka sering mengambil berat dan membantu jiran tetangga, rakan-rakan mahupun orang lain yang tidak mereka kenali dengan hati yang ikhlas lagi jujur tanpa mengharapkan balasan semata-mata.

     Sebagai satu contoh situasi, bagi mereka yang merokok. Merokok jelas tidak mendatangkan faedah daripada segi kesihatan. Jika mahu merokok juga, tiada siapa yang mahu menegah. Namun keadaan akan lebih buruk apabila punting rokok dibuang ke kawasan penuh dengan rumput kering. Dengan tiupanangin yang kencang, mudahlah api menjulang. Bagi yang bersikap prihatin, dengan kudrat yang ada,akan segera memadam api tersebut sebelum membakar kawasan tersebut. Dengan menggunakan baldi, air akan dicurahkan ke dalam api yang terus menjulang. Dalam keadaan letih, cemas dan bimbang akan keselamatan diri, tentu diri akan panas hati jika masyarakat hanya melihat sahaja tanpa ada hasrat untuk membantu.

     Situasi ini wujud kerana sesetengah ahli masyarakat akan menganggap sesuatu kejadian itu tidak perlu dibantu, jika tidak akan membawa malapetaka kepada diri dan keluarga. Mereka hanya tersentak dan segera menyalahkan orang lain jika kepentingan diri tergugat. Hal ini menunjukkan kempen mewujudkan masyarakat penyayang belum membuahkan hasil. Jika masyarakat berterusan bersikap negatif, hasrat mewujudkan Negara maju pada tahun 2020 tidak akan membuahkan hasil. Ini kerana, kemajuan Negara perlu seiring dengan kemajuan kerohanian masyarakatnya.

     Oleh itu, seluruh ahli masyarakat perlu mengamalkan budaya tolong-menolong, seperti kata peribahasa ‘cubit paha kanan, paha kiri pun sakit juga’. Jika budaya ini menjadi amalan, kemajuan negara akan lebih pesat dan keharmonian masyarakat dapat dipertahankan.

No comments:

Post a Comment